<< November 2009 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
01 02 03 04 05 06 07
08 09 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed


Feb 24, 2005
Tidak ada yang mustahil

Banyak yang diperkatakan mengenai seorang tycoon bumiputera terkenal di Malaysia iaitu Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhari. Namanya terkenal bukan sahaja di Malaysia malah di serata dunia terutamanya bursa-bursa saham. Tidak banyak yang kita ketahui mengenai latarbelakang beliau malah saya (Nik Zafri) sendiri tidaklah mengenali beliau secara rapat tetapi berikut adalah maklumat-maklumat mengenai jutawan dan tokoh korporat Malaysia yang terkenal ini yang dapat saya kongsi bersama dengan pembaca. Saya terlebih dahulu ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan maaf jika terdapat ketidaktepatan fakta- yang dikemukakan lebih-lebih lagi dari pihak Tan Sri Syed Mokhtar sendiri. Jika ada pembaca mempunyai fakta-fakta yang lebih kukuh, saya memohon agar diemailkan kepada saya.

Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhari berasal daripada Alor Setar, Kedah. Memulakan perniagaannya sebagai seorang pengusaha daging pada tahun 1970. Seorang yang terkenal dengan sikap rendah diri, Syed Mokhtar tidak pernah berpuas hati dengan kedudukannya dan sentiasa berusaha keras untuk memperbaiki taraf hidupnya.

Pada tahun 80-an, Syed Mokhtar telah beralih ke bidang pengangkutan yang telah membawa tuah kepadanya sehingga menjadi seorang antara tokoh korporat bumiputera yang terkaya di Malaysia. Karier perniagaannya mula dikenali pada awal 90-an di Johor semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar. Beliau yang amat meminati bidang pengurusan dan pembangunan pelabuhan adalah salah seorang manusia yang bertanggungjawab menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas Johor menjadi terkenal di mata dunia dalam tempoh yang sebentar.

Tidak lama kemudian, Syed Mokhtar telah mengasaskan Yayasan (Islam) Al-Bukhary yang telah membina dan menguruskan Muzium Kesenian Islam bernilai RM70 juta di Kuala Lumpur selain banyak menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan terutamanya sekitar Negeri Kedah dan Perak.

Syed Mokhtar juga merupakan pemilik kepada Syarikat Gulf International Investment Group Capital (GIIG) yang mempunyai kepentingan dalam Projek Hidro Elektrik Bakun. Di samping itu, beliau mempunyai kepentingan dalam beberapa buah firma terkenal Malaysia seperti Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC), PERNAS, Padiberas Nasional Berhad, Malakoff Berhad, Seaport Terminal Johor Sdn. Bhd., Johor Port Berhad, Impian Teladan Sdn. Bhd., Indra Cita Sdn. Bhd. dan banyak lagi.  MMC telah bergabung dengan Gamuda Berhad dan berjaya mendapatkan projek landasan keretapi berkembar bernilai RM14.5 billion sebelum ianya dibekukan oleh kerajaan kerana faktor pemulihan ekonomi. Syed Mokhtar juga dikatakan telah membeli kepentingan majoriti dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor.

Usaha gigih Syed Mokhtar telah berjaya menarik perhatian dan kekaguman bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir yang menggalakkan lebih ramai tokoh korporat bumiputera dapat dilahirkan menerusi usaha keras sebagaimana Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhari.

Pada pendapat saya, Syed Mokhtar merupakan seorang yang tidak pernah mengenal erti kegagalan dan beliau sentiasa belajar dari apa juga kesilapan yang dilakukan. Beliau juga merupakan seorang yang berhati-hati dalam perniagaan terutamanya soal pembelian dan pengambilalihan kepentingan dalam sesebuah syarikat dan projek. Beliau seolah-olah memikirkan kepentingan orang ramai terutamanya bumiputera sebelum membuat apa-apa keputusan penting dalam perniagaan. Dari beberapa sumber dan setahu saya, Syed Mokhtar merupakan seorang yang taat kepada suruhan agama, pemurah, menggemari perkara-perkara amal dan kebajikan, kuat bekerja, merendah diri dan tidak sukakan publisiti. (Tidaklah menghairankan jika beliau dicemburui dan dikagumi oleh ramai orang)

Mungkin inilah antara rahsia kejayaan beliau.


Posted at 05:39 am by mdhosni
Comments (15)  

Feb 18, 2005
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary


Tan Sri Syed Mokhtar Shah Bin Syed Nor Al-Bukhary merupakan tokoh yang semakin menyinar dalam bidang korporat di Malaysia. Beliau kini berusia 51 tahun dan memulakan kerjayanya di Johor pada awal tahun 90-an. Beliau mula melibatkan diri dalam bidang perniagaan sebagai pemborong beras dan kini beliau merupakan seorang tokoh korporat bumiputera yang disegani dan berjaya di dalam sektor perladangan, pembangunan hartanah, pembinaan, kejuruteraan, janakuasa, infrastruktur dan pelabuhan.

Beliau merupakan simbol anak Melayu yang berkebolehan di dalam bidang perniagaan (korporat) yang dapat memimpin beberapa konglomerat besar. Kejayaannya dapat dilihat dengan penguasaan sebanyak 90 peratus ke atas Seaport Terminal (Johor) Sdn. Bhd pada tahun 1993. Beliau juga telah berjaya mendapat satu projek mega apabila Seaport diberi penyerahan selama 30 tahun untuk membina Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Seaport memiliki 60 peratus daripada projek Pelabuhan Tanjung Pelepas dan menjadikan beliau sebagai pemegang saham yang terbesar. Beliau telah mendapat pujian oleh kerajaan kerana kejayaannya mengendalikan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dimana beliau berjaya menguruskan pelabuhan tersebut menjadi satu pelabuhan yang cergas di bahagian Selatan Semenanjung Malaysia. PTP berjaya menarik minat syarikat perkapalan Taiwan Evergreen Marine Corporation seperti yang diumumkan akan memindahkan seluruh operasi kontenanya ke Johor daripada Singapura. Ia merupakan satu projek yang akan memacu rencana kerajaan Malaysia untuk membangunkan negara sebagai hak perkapalan yang termaju dirantau ini.

Selain daripada itu, beliau juga merupakan pemegang saham di dalam Malaysia Mining Corporation (MMC) iaitu sebanyak 19.9% melalui syarikat miliknya iaitu Syarikat Impian Teladan Sdn. Bhd. Secara persendirian, Tan Sri Syed Mokhtar juga memiliki SKS Ventures Sdn. Bhd di mana beliau telah diberi tanggungjawab menjalankan projek membina 2100MW tapak 'gas-fired' di Tanjung Bin, Johor. Beliau juga mempunyai kepentingan di dalam PERNAS di mana Tan Sri Syed Mokhtar memiliki 32% saham melalui syarikat Restu Jerneh. Beliau juga turut memiliki kepentingan di dalam Fiamma Holdings Berhad di mana terdapat 18.68% saham diperolehi melalui Syarikat Perdana Padu Sdn. Bhd dan Corak Kukuh Sdn. Bhd miliknya. Tan Sri Syed Mokhtar juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Bina Puri Holdings Berhad di mana beliau merupakan pemegang saham secara individu sebanyak 7.34%. Selain daripada itu, Tan Sri Syed Mokhtar juga mempunyai kepentingan di dalam lain-lain syarikat-syarikat tempatan dan asing di Malaysia.

Terdapat satu lagi projek yang akan menaikkan nama beliau di peringkat antarabangsa iaitu projek Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur yang mana cadangan penubuhan muzium tersebut adalah daripada Perdana Menteri sendiri. Tan Sri Syed Mokhtar juga bertanggungjawab dengan kemasukan pusat membeli-belah Harrods yang terkenal di London ke Malaysia menerusi syarikatnya, Amtek Holdings Bhd. Tan Sri Syed Mokhtar mempunyai peranan yang penting dalam Yayasan Al - Bukhary iaitu syarikat milik keluarga dimana beliau bertindak sebagai Pengerusi Eksekutif. Menerusi Yayasan Al - Bukhary, beliau telah banyak memberi sumbangan dalam kerja-kerja berkaitan dengan kebajikan sosial Islam dan pembinaan Masjid Al -Bukhary di negeri Kedah.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau telah dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran antaranya Panglima Setia Mahkota (P.S.M) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri dan Dato' Setia mahkota Kedah (D.S.D.K) oleh KDYMM Sultan Kedah yang membawa gelaran Dato'.

Posted at 12:36 am by mdhosni
Comments (51)